MUSIM MONSOON TIMUR LAUT DIJANGKA BERMULA

Menurut ramalan dari Jabatan Meteorologi Malaysia seperti petikan bernama di bawah musim monsun dijangka akan bermula dan dah 2 hari juga latihan dipengaruhi oleh awan hujan yang agak ketara dengan hari Jumaat langsung tiada latihan dengan hujan agak lebat di awal pagi dan tiada angin langsung flat bagaikan cermin pada sebelah petangnya, manakala semalam pula angin lebih baik tetapi tompok-tompok awan berselerakan sudah mula kelihatan pada sepanjang masa. Keadaan angin yang tidak menentu tetapi selalunya kuat bersama dengan hujan dijangka kerap akan berlaku pada kebanyakan masa mulai sekarang. Oleh itu pelayar dinasihatkan untuk bersedia untuk latihan bagi keadaan sebegini, bersedia untuk basah. Sediakan spray jaket awal-awal sebelum turun.

 

Monsun Timur Laut bermula, diramal berakhir Mac tahun depan

 
 

Musim Monsun Timur Laut di negara ini bermula semalam dan dijangka berakhir pada minggu ketiga Mac 2014.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, episod hujan lebat pertama dijangka berlaku sekitar minggu ketiga bulan ini.

Ia menjelaskan bahawa pada musim ini, negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan pantai Sarawak dan pantai timur Sabah akan mengalami empat hingga lima episod hujan lebat yang menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari.

Keadaan itu boleh mengakibatkan kejadian banjir di negeri-negeri pantai timur dan kawasan selatan Semenanjung pada bulan ini dan Disember serta Januari 2014.

Kejadian sama boleh berlaku di bahagian barat dan tengah Sarawak pada Disember 2013, Januari dan Februari 2014, dan di pantai timur Sabah pada Januari dan Februari 2014.

"Walaupun negara dijangka mengalami Monsun Timur Laut yang normal, namun setiap episod hujan lebat boleh menyebabkan kejadian banjir terutama di kawasan lembangan sungai," kata jabatan itu.

Musim itu menyaksikan angin timur laut yang bertiup secara tetap merentasi Laut China Selatan hingga ke kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

BERNAMA

 

Apa pun persiapan untuk latihan di air dijangka berbaki 5 atau 6 hari sahaja lagi sebelum pasukan menjalani latihan di luar Terengganu. Pasukan merancang untuk menjalani latihan di Timah Tasoh selama beberapa hari sebelum bergerak ke Langkawi bagi persediaan Kejohanan Kebangsaan yang akan membuka tirai pada 27hb November ini dan akan berakhir pada 01hb Disember. Semua pelayar yang terlibat telah dimaklumkan supaya bersedia dari sekarang terutama mengenai persiapan diri dan bot masing-masing.

Write a comment

Comments: 6