SEDIKIT LARI DARI SAILING DI TERENGGANU: SEMPENA HARI PENUBUHAN SPRM KE-47

JUMAAT, 3 OKTOBER 2014 - 4:37AM

Rasuah musnahkan negara, bangsa

Titah Diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR/SPRM) Ke-47

Aspek Pertama: Senario umum; rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan manusia adalah kesalahan melanggar amanah; dikisahkan dalam ayat 115 Surah Taha bermaksud: "Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat".

<<<<<<<<

Takrif rasuah

 

Rasuah ditakrifkan perbuatan salah guna kuasa untuk memperkayakan atau memberi kelebihan kepada individu, anggota keluarga dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan tanggungjawab mentadbir urus sumber awam.

<<<<<<<<<<<

Khazanah negara tiris akibat rasuah

Rasuah mengakibatkan ketirisan khazanah negara, pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, agihan kekayaan tidak seimbang, dan peningkatan kemiskinan. Antara tahun 2001 hingga 2010, hampir enam trilion dolar disalah guna di negara-negara miskin hingga menjejaskan kehidupan rakyat biasa.

<<<<<<<<<<

Transformasi ekonomi China

Bermula dengan era Deng Xiaoping pada tahun 1978, meskipun kekal dengan doktrin politik berteraskan komunisme, Negara China telah melakukan transformasi ekonomi secara radikal hingga kini muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Reformasi ekonomi membuka ruang untuk membolehkan berlakunya rasuah lebih besar, melalui pelbagai peluang baharu penswastaan.

<<<<<<<<<<<<

Pengisytiharan harta

Pegawai kerajaan yang hidup mewah, mengadakan majlis keraian secara besar-besaran termasuk majlis perkahwinan, disiasat, diminta mengisytiharkan sumber pembiayaan. Langkah pengisytiharan harta diri dan anggota keluarga diperkenalkan dalam kalangan ahli parti dan anggota pentadbiran. Serbuan dilakukan di pusat hiburan dan pelacuran, dan tindakan dikenakan kepada polis serta pihak berkuasa tempatan kerana tidak bertindak memberhentikan aktiviti sedemikian. Sejak tahun 2013, lebih 200,000 pegawai dijatuhkan pelbagai hukuman.

<<<<<<<<<<<<

Tehelka.com dedah rasuah

Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah di Kementerian Pertahanan India. Rakaman video memperlihatkan pegawai kanan tentera minum wiski sambil berfoya-foya bersama pelacur; juga mendedahkan 16 pegawai tentera menerima sogokan antara September hingga Disember 2000. Atas desakan rakyat, Menteri Pertahanan George Fernandez meletakkan jawatan, Bangaru Laxman meletakkan jawatan Presiden Parti Bharatiya Janata, empat Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan digantung kerja.

Tehelka.com dipuji rakyat kerana berani mendedahkan perlakuan rasuah peringkat tinggi; tetapi kerajaan menguar-uarkan bahawa Tehelka.com menjadi instrumen parti pembangkang, di samping berperanan sebagai ejen Pakistan dan kepada Agensi Perisikan Eropah, bertujuan jahat memburukkan kerajaan.

<<<<<<<<<<<<<

Jepun hampir capai sifar rasuah

Indeks Persepsi Rasuah 2013, mencatatkan Jepun mencapai 74 markah, berada pada ranking ke-18. Namun skandal rasuah yang berlaku, meletakkan Jepun berada dalam paradoks, di antara jernih air di permukaan tasik dengan lumpur hitam di dasar tasik. Jepun dianggap hampir mencapai status sifar rasuah pada peringkat petty corruptionyang melibatkan pegawai bawahan, tetapi berlaku structural corruption secara besar-besaran melibatkan pihak atasan. Ahli politik Jepun perlu modal besar untuk survival, menampung perbelanjaan aktiviti politik dan untuk mendapatkan sokongan politik.

<<<<<<<<<<<<

Dunia kesinambungan akhirat

Islam agama syumul, menyeluruh lagi sempurna. Kehidupan dunia berkesinambungan dengan kehidupan akhirat seperti diperingatkan dalam firman Allah SWT, Surah Al-Mu'min, ayat 39 bermaksud: "...,sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."

<<<<<<<<<<<<<

Usaha Malaysia banteras rasuah

Ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri menegaskan azam dan usaha kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah. Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai satu daripada tujuh komponen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pelbagai langkah susulan dirintis termasuk penubuhan 14 mahkamah khas rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013, menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat daripada 64 peratus ke 65.8 peratus; dan tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat daripada 86.4 peratus dalam tahun 2012 kepada 87.3 peratus dalam tahun 2013. Usaha terus dirintis untuk memperkemaskan undang-undang di samping meningkatkan kapasiti dan capability agensi penguat kuasa.

 

Undang-undang dan agensi penguat kuasa adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program yang komprehensif lagi holistik. Memahami latar belakang pelaku rasuah akan memberikan kelebihan kepada petugas untuk berupaya memberikan preskripsi dan diagnostik yang tepat.

<<<<<<<<<<<<<

Kategori pelaku rasuah

Secara simplistik, pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, adalah kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian.

Data Laporan Model Ekonomi Baru menunjukkan, 80 peratus isi rumah di negara ini berpendapatan kurang RM5,000 sebulan; 40 peratus isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; 78.6 peratus penyimpan KWSP berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Tahap keupayaan pelaburan dalam kalangan majoriti Bumiputera boleh dimanifestasikan dengan data yang menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham Bumiputera memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang.

Permintaan Presiden CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak not RM10 dalam mesin ATM, memberikan petanda bahawa pada masa tertentu, sebilangan pemilik kad ATM, tidak pun mempunyai baki minimum RM50 dalam akaun masing-masing.

Data menyentuh agihan sangat membimbangkan dalam usaha gigih negara mahu mencapai taraf negara maju dengan sasaran pendapatan perkapita RM48,000 pada tahun 2020. Agihan tidak seimbang dan jurang pendapatan yang lebar akan mewujudkan persekitaran yang boleh menyuburkan budaya petty corruption.

Apakah opsyen yang ada dalam kalangan pegawai awam mahupun swasta jika gaji tidak dapat menampung perbelanjaan hidup harian? Majoriti yang berada dalam kategori ini, sebenarnya, tidak mahu melakukan rasuah. Ada yang melakukan kerja kedua, berniaga di pasar malam, memandu teksi secara sambilan, menjual kuih, mengambil upah menjahit serta melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencukupkan pendapatan. Akibatnya mereka tidak cukup rehat - mereka keletihan, menyebabkan mereka menjadi petugas yang lesu ketika bertugas lalu menjejaskan produktiviti.

Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat.

Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.

Pelaku rasuah kategori kedua terdiri daripada kalangan yang bersifat tamak - bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah. Pelaku rasuah dalam kategori ini amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping sebahagian mempunyai hubungan intim dengan orang atasan.

<<<<<<<<<

Usaha perangi rasuah fokus dua aspek

Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertamaLANGKAH PUNITIF YANG TEGAS DAN TIDAK SELEKTIF, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih; aspek kedua: LANGKAH PREVENTIF UNTUK MENGUKUHKAN INTEGRITI. TEGAS dan TIDAK SELEKTIF adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip. Negara mempunyai contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak.

<<<<<<<<<<<

Utama kedaulatan undang-undang

Penghakiman itu mengandungi bukan sekadar kata-kata mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukum, ia turut mengandungi komponen nasihat, teguran, peringatan dan amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras - sedemikian tegas terhadap tertuduh yang turut baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum daripada kenalan.

<<<<<<<<<<<<

Tingkat integriti

Aspek preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu. Sifat tamak adalah faktor yang sering kali menjerumuskan manusia melakukan dosa. Islam menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah; tercatat peringatan Ilahi dalam Kisah Nabi Hud Alaihissalam, pada ayat 128 Surah Asy-Syu'araa.

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, gigih menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah..

Write a comment

Comments: 11